PERANAN KIMMA

KIMMA sentiasa berdiri teguh menyokong penuh kepimpinan dan segala usaha-usaha yang diilhamkan dan dilaksanakan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, dan Kerajaan Barisan Nasional. KIMMA juga bertindak sebagai mata dan telinga kepada kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dan supaya nikmat hasil daripada pembangunan pesat negara dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

 

Usia KIMMA yang kini mencecah 38 tahun telah banyak mematangkan KIMMA daripada sebuah organisasi yang kerdil kepada sebuah parti politik yang kompetitif dan disegani. Sepanjang tempoh 38 tahun ini, KIMMA telah memainkan peranan penting sebagai payung yang sentiasa menaungi dan melindungi kepentingan masyarakat India Muslim dalam usaha negara mengejar arus pembangunan dan pemodenan. KIMMA tidak pernah leka dan sentiasa prihatin akan kepentingan dan keperluan masyarakat India Muslim, dan KIMMA sentiasa peka dalam usahanya memperjuangkan dan memartabatkan hak-hak India Muslim di negara Malaysia.

 

Dalam usaha KIMMA untuk memberikan khidmat yang terbaik, KIMMA telah menyediakan banyak kemudahan untuk kegunaan dan manfaat bersama masyarakat. Antaranya adalah KIMMA memiliki sebuah bas yang boleh digunakan tanpa bayaran sewa oleh masyarakat dan NGO India Muslim, dan bayaran yang dikenakan hanyalah kos petrol dan gaji pemandu kenderaan. Di samping itu, KIMMA turut mempunyai 5 buah van yang bertindak sebagai Pusat Khidmat Masyarakat Bergerak di Negeri-Negeri untuk memastikan tiada seorang pun yang tercicir untuk mendapat bantuan KIMMA. KIMMA mempunyai perancangan dalam jangka masa terdekat untuk menyediakan van di setiap negeri supaya perkhidmatan yang ditawarkan oleh KIMMA boleh dinikmati oleh masyarakat di seluruh Malaysia.

 

KIMMA bersama Ahli-Ahli Majlis Tertinggi KIMMA telah mengadakan perjumpaan dan dialog bersama YAB Perdana Menteri Malaysia pada 13 Ogos 2010 untuk membincangkan isu-isu semasa dan perkara-perkara yang berkaitan dengan masyarakat India Muslim. Seterusnya, KIMMA dengan kerjasama NGO-NGO India Muslim Se-Malaysia telah berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam bersama YAB Perdana Menteri Malaysia pada 28 Ogos 2010. Majlis Makan Malam ini telah menyaksikan YAB Perdana Menteri telah membuat beberapa pengisytiharan penting dan bersejarah buat masyarakat India Muslim, yang telah mengangkat martabat masyarakat India Muslim sebagai Bumiputera dan sebahagian daripada rumpun Melayu.

 

KIMMA sentiasa mengamalkan budaya kerja berinovasi, dan dalam meningkatkan kualiti dan kelancaran pentadbiran parti, KIMMA telah mewujudkan sayap-sayap pergerakan penting di dalam parti seperti Wanita, Pemuda dan Puteri yang berperanan memastikan setiap perancangan dan agenda-agenda yang dirancang oleh KIMMA dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien.

 

Inovasi KIMMA bukan sahaja melibatkan penubuhan sayap-sayap penting, tetapi turut merangkumi transformasi perlembagaan. Perlembagaan dalam Bahasa Inggeris yang digunapakai oleh KIMMA sejak awal penubuhan pada 1976, telah digantikan dengan Perlembagaan KIMMA yang terbaru dan lebih komprehensif. Perlembagaan baru ini, yang telah disusun dan disemak berdasarkan Perlembagaan UMNO, telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada September 2013 dan telah dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2014.

 

 

KIMMA amat komited dalam memartabatkan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat India Muslim di Malaysia, dan lantaran itu KIMMA telah menubuhkan tiga (3) organisasi utama di bawahnya, iaitu;

 

I)             Yayasan Kemajuan Islam Nasional

-     Bertujuan membantu masyarakat India Muslim yang memerlukan bantuan terutamanya daripada segi pendidikan, kebajikan, ekonomi serta kegiatan-kegiatan dakwah

 

II)           Koperasi KIMMA Berhad (Koop KIMMA)

-     Bertujuan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk belia dan beliawanis

-     Meneroka dan menceburi bidang-bidang dan hub-hub utama negara dengan memberi fokus yang mendalam dalam bidang penternakan, perladangan dan bioteknologi

-     Memberi peluang pelaburan kepada semua ahli KIMMA melalui Koop KIMMA dan mendapat pulangan sewajarnya dan setimpal

 

III)          Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN)

-     Menyatupadukan semua entiti perniagaan India Muslim dalam satu dewan perniagaan serta menjaga hak-hak dan kebajikan ahli-ahli dewan

-     Meneroka dan memberi ilmu pengetahuan tentang dunia perniagaan kepada semua ahli dewan sekaligus meningkatkan produktiviti dan daya saing

-     Memperjuang dan membantu ahli-ahli dewan untuk mendapat agihan ekonomi yang adil daripada kerajaan

 

IV)         Gabungan NGO India Muslim Malaysia (GANIM)

-     Menyatupadukan semua pertubuhan NGO India Muslim di Malaysia di bawah satu entiti gabungan yang kuat

 

 

Semenjak penubuhannya, KIMMA telah melaksanakan dan memberikan pelbagai perkhidmatan dan sumbangan kepada masyarakat Malaysia khususnya masyarakat India Muslim. Antara program-program yang telah berjaya dilaksanakan adalah;

 

-     Kembara 1Malaysia:

Jelajah konvoi sebanyak 62 buah kereta ke seluruh Malaysia untuk menerangkan kepada masyarakat Malaysia tentang dasar-dasar kerajaan dan Gagasan 1Malaysia

 

-     Kempen Sejuta Tandatangan Menyokong Gagasan 1Malaysia:

Diadakan secara serentak di seluruh Malaysia dan berjaya mengutip 1,276,321 tandatangan daripada segenap lapisan masyarakat

 

-     Anugerah Pelajar Cemerlang 2011, 2012, 2013, 2014:

Mengiktiraf pencapaian pelajar-pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dan kesungguhan dalam bidang akademik

 

 

Perjuangan tanpa mengenal penat lelah KIMMA telah membuahkan hasil apabila KIMMA telah mendapat pengiktirafan berharga daripada UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional, dan pengiktirafan ini dimanifestasikan melalui pemberian satu kerusi Ahli Dewan Negara kepada KIMMA. Pengiktirafan ini telah mengangkat martabat KIMMA ke satu tahap yang lebih tinggi sekaligus meningkatkan semangat dan daya saing ahli-ahli KIMMA untuk terus berusaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat.

 

Seiring dengan peredaran masa, KIMMA kini telah meletakkan matlamat baru untuk dijadikan fokus dan penanda aras oleh semua ahli-ahli KIMMA. Matlamat tersebut adalah untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat India Muslim dan seterusnya untuk menjadikan masyarakat India Muslim sebagai masyarakat SIFAR MISKIN dalam tempoh dua (2) tahun bermula daripada sekarang.

 

Kejayaan yang dicapai KIMMA tidak akan mampu direalisasikan melalui usaha seseorang individu sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan kesatupaduan daripada ahli-ahli KIMMA daripada segenap pelusuk negara. Berdasarkan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai, KIMMA kini yakin dan sudah bersedia untuk menjadi ‘one stop center’ kepada masyarakat India Muslim di Malaysia, sekaligus memainkan peranan untuk menjaga kepentingan politik, agama dan pembangunan negara.



Print

MEDIA SOSIAL KIMMA

PAUTAN KIMMA

Profil Presiden Buletin KIMMA Lagu KIMMA Logo KIMMA Teks Ucapan

ARTIKEL TERKINI

13 Nov 2018

MESYUARAT KHAS BERSAMA UMNO PULAU PINANG

Georgetown, 13 Nov 2018 - Barisan Exco Badan Perhubungan KIMMA Negeri Pulau Pinang bersama YBhg. Datuk Seri Hj Syed I...

Selanjutnya
27 Oct 2018

PERHIMPUNAN AGUNG KIMMA KALI KE-41

Nilai, 27 Oktober 2018 - KIMMA telah menjalankan Perhimpunan Agung KIMMA kali ke-41 yang dirasmikan oleh YB. Datuk Se...

Selanjutnya
20 Oct 2018

PROGRAM MOTIVASI PELAJAR SPM PERCUMA

Kuala Lumpur, 20 Oktober 2018 - KIMMA Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Program Motivasi Pelajar SPM secara perc...

Selanjutnya
Papar Semua